Kenapa Dr Strange Tunjuk Jari Ini Kepada Tony Stark? – 7 Elemen Menarik (Tetapi Tersembunyi) Dalam Avengers: Endgame

Keluarnya filem Avengers: Endgame, merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu sejak tahun 2018 lepas. Berapa ramai dalam kalangan kita yang ternanti-nanti? Sehingga membawa kepada kegelisahan melampau pun ada, apabila saat tayangan semakin menghampiri.

Berdebar-debar apabila hari tayang semakin dekat,
Rasa resah dan gelisah dalam panggung wayang,
Tangan berpeluh atau sakit tak berhenti.

Haha.

Penulisan kali ini, mahu fokus kepada elemen menarik dalam filem ini yang mungkin ramai terlepas pandang. Sangat berseni, tersembunyi dan penuh maksud tersirat, sekiranya anda peka.

AMARAN:
ARTIKEL INI MENGANDUNGI SPOILER UNTUK AVENGERS: ENDGAME (AE)

Adrift in space with no food or water, Tony Stark sends a message to Pepper Potts as his oxygen supply starts to dwindle. Meanwhile, the remaining Avengers — Thor, Black Widow, Captain America and Bruce Banner — must figure out a way to bring back their vanquished allies for an epic showdown with Thanos — the evil demigod who decimated the planet and the universe.

7 elemen menarik tetapi tersembunyi dalam Avengers: Endgame ini ialah:

  1. Hukum Time Travel yang banyak dilanggar sepanjang filem ini
  2. Pembawa gauntlet ketika perang terakhir ialah penyambung legasi Avengers
  3. Pemergian The Big Six yang tenang dan memuaskan
  4. Dr Strange memang tahu ini satu-satunya jalan untuk kalahkan Thanos
  5. Koleksi watak yang terkesan oleh Tony Stark
  6. Nilai kita bukan ditentukan oleh alat atau senjata, tetapi dalaman kita
  7. Tiada post-credit scene – Endgame sebagai pelengkap kepada fasa 3

Kalau anda datang ke sini untuk baca mengenai kenapa Dr Strange tunjuk jari begitu kepada Tony Stark, boleh terus skip ke no 4.


1. Hukum Time Travel Yang Banyak “Dilanggar” Sepanjang Filem Ini – Pertembungan Fizikal vs Pertembungan Informasi

Bagi peminat filem time travel seperti Back To The Future, Project Manhattan, 12 Monkeys dan sebagainya (terutama peminat setia siri The Flash yang amat banyak elemen merentas masa), mesti agak kecewa dengan AE.

Saya pun kecewa tau!

Sebab apa? Sebab terlalu banyak hukum time travel yang dilanggar sehingga ambil masa untuk faham. Rasa pelik pun ada. Tak logik itu sudah pasti, sebab fiksyen. Tetapi sekurang-kurangnya, mesti ada hukum yang perlu dijaga, terutama konsep Butterfly Effect, Time Paradox dan sebagainya.

Antara contoh hukum dilanggar:

  • Tak boleh ubah apa-apa di masa lampau sebab nanti akan ubah segalanya di masa sekarang dan depan. Contohnya, babak di Battle of New York, ketika pasukan itu nak curi Tesseract selepas Loki ditangkap. Sebab campur tangan Avengers, menyebabkan Loki terlepas dan lari. Tetapi, kalau Loki lari, tak ke akan beri kesan kepada Thor 2? Sebab Loki sepatutnya ditangkap dan dipenjarakan di bawah tanah istana Asgard?
  • Bahaya kalau terserempak dan ada sentuhan fizikal dengan diri sendiri, sebab boleh menyebabkan time paradox. Ini masih boleh didebatkan, sebab bukan semua filem amalkan konsep ini. Captain America pula, bukan setakat ada sentuhan fizikal, malah siap berlawan lagi dengan diri sendiri! Tak ke ini akan mengubah masa depan?

Tetapi sebenarnya, mereka ada terangkan siap-siap, waktu Bruce Banner berbual dengan Ant-Man, yang semua konsep dalam filem time travel itu hanya tipu saja. Bukan sains sebenar! Dalam AE itulah sains sebenar berkaitan Quantum Physics. Sehingga Ant-Man rasa kecewa gila haha.

Part ini penting, sebab ia menentukan hukum time travel mengikut mazhab Avengers: Endgame. Senang cerita, susah kita nak debat semula, sebab itu filem dia, jadi suka hati dia nak buat macam mana.

Malah sebenarnya, ada dua saja plot hole mengenai konsep time travel dalam Avengers: Endgame kali ini, iaitu 1) Thanos daripada masa lampau mati menjadi debu, jadi bagaimana Thanos itu akan petik jari di masa depan nanti? 2) Loki yang melarikan diri menggunakan Tesseract selepas ditangkap dalam Battle of New York (jadi bagaimana perjalanan timeline untuk Thor 2: The Dark World nanti? Anda boleh baca penerangan penuh oleh Screen Rant di sini.

Apa yang tersembunyi di sini?

Perasan tak, walaupun ada banyak pertembungan antara Avengers sekarang dan Avengers masa lampau, semuanya bersifat pertembungan fizikal dan bukan pertembungan ilmu. Pendek kata, sesama mereka, tak ada yang bocorkan rahsia mengenai masa depan.

Tetapi konsep ini berlainan dengan Nebula dan Thanos.

Kerana ada pertembungan informasi antara Nebula sekarang dan Nebula lama, mengubah keseluruhan perjalanan dan perancangan mereka. Apabila Thanos dapat tahu, Nebula masa depan datang ke masa lampau, sekaligus mengubah memori Nebula lama sehingga ada bertindih memori. Melalui ini, Thanos mula merancang untuk melawan Avengers.

Menarik betul, apabila pertembungan fizikal itu tidak memberi apa-apa kesan kepada timeline, sebaliknya pertembungan knowledge yang mengubah segalanya.

Cuma di sini, masih lagi tak logik timeline yang berubah – Kalau Thanos masa lampau datang ke masa depan dan akhirnya dia dibunuh (jadi debu), bagaimana Thanos ini akan hidup dan menjadi Thanos di masa depan, yang akan berjaya bunuh 50% populasi dunia (yang dalam Avengers Infinity War)? Tak dapat nak brain, kan?


2. Pembawa Gauntlet Ketika Perang Terakhir = Penyambung Legasi Avengers

Babak terakhir waktu pasukan Thanos melawan pasukan Avengers, ada satu babak di mana beberapa superhero ini berlari membawa gauntlet yang lengkap dengan Infinity Stones ke arah Quantum Machine dalam van Ant-Man.

Bermula dengan Hawkeye yang mula terjumpa gauntlet itu di bawah runtuhan bangunan selepas pangkalan Avengers kena bom, kemudian disambung oleh Black Panther yang mengambil gauntlet itu dan terus berlari ke arah van.

Lalu disambung pula oleh Spider-Man yang menyambut dan berhayun-hayun untuk ke van Scott (sambil dibantu oleh Pepper Potts/Rescue) dan akhirnya kepada Captain Marvel sebagai orang terakhir tolong bawa.

Babak seperti passing baton dalam lumba lari ini sangat menarik sebab ia ibarat satu falsafah atau metafora kepada kesinambungan legasi Avengers Initiative, yang bakal diteruskan selepas persaraan The Big Six (team Avengers yang asal – Iron Man, Captain America, Hulk, Thor, Black Widow dan Hawkeye). Ibaratnya, Hawkeye sebagai wakil kepada The Big Six untuk serahkan legasi kepada super-hero seterusnya, selepas Avengers: Endgame ini.

Maka saya tak terkejut andai penyambung legasi Avengers selepas ini (MCU Fasa 4) ialah mereka yang membawa gauntlet/baton ini ke arah ‘kejayaan.’

Saya sangat suka babak ini, sebab sangat berseni dan tersembunyi 🙂

Tambahan, ada babak istimewa yang terselindung.

Ingat tak ketika The Big War, saat Thanos dah pakai gauntlet untuk petik jari lagi sekali (sebelum Iron-Man rampas semua Infinity Stones). Ada satu saat, di mana Captain Marvel pegang tapak tangan Thanos untuk elakkan dia dapat petik jari lagi sekali. Thanos cuba untuk tumbuk Captain Marvel tetapi tak ada kesan. Dengan senyuman sinis, Captain Marvel cuba untuk rampas gauntlet sebelum Thanos ambil Power Stones (ungu) dan tumbuk perempuan itu sehingga terpelanting.

Perasan tak? Babak Captain Marvel pegang gauntlet Thanos itu sambil berlutut, mempunyai banyak persamaan dengan babak Captain America buat perkara yang sama, dalam Avengers: Infinity War.

Seolah-olah ini sebagai simbolik yang legasi kepimpinan pasukan Avengers akan disambung oleh Captain Marvel, selepas Captain America bersara. Malah, nama pun dua-dua mereka ini, “Captain”, kan? Tak boleh nak obvious lagi ke? 😛


3. Pemergian The Big Six – Secara Baik, Tenang dan Memuaskan Mereka

Selepas tamatnya Avengers: Endgame, ketika pertengahan credits (sebelum rolling credits), setiap pelakon The Big Six menurunkan tandatangan mereka, sebagai tanda selamat tinggal dan memberi simbolik kepada pemergian mereka (kerana habis kontrak). Jadi kalau anda tonton di pawagam nanti, jangan lupa untuk tunggu sehingga habis ‘credit’, supaya dapat saksikan momen bersejarah dan meremangkan bulu roma ini.

Malah, sebelum bermulanya filem Avengers: Endgame ini, ketika tulisan Marvel diperkenalkan pun sudah mempamerkan koleksi-koleksi babak yang mempunyai The Big Six. Seolah-olah, ketika slot awal pun sudah diberi petunjuk yang filem ini sebagai “farewell” kepada The Big Six.

Setelah 11 tahun kita bersama dengan setiap pelakon The Big Six ini (sebanyak 22 filem Marvel, termasuk Endgame), pemergian mereka pasti memberi impak yang mendalam. The Big Six ialah 6 watak utama dalam MCU yang menjadi pasukan pertama dalam Avengers sebelum mula disertai super-hero lain. Yang menarik di sini ialah bagaimana Avengers: Endgame menggambarkan pemergian mereka dalam MCU.

Hawkeye akhirnya bahagia dengan keluarganya, setelah berjaya menewaskan Thanos dan 50% populasi dunia dikembalikan. Tambah pula sisi watak Hawkeye sebagai suami/ayah mula diperkenalkan melalui Avengers: Age of Ultron. Jadi, sangat logik kenapa Hawkeye kelihatan amat terseksa dengan kehilangan SEMUA ahli keluarganya dan selama 5 tahun dia mengambil identiti sebagai Ronin.

Di pengakhir Avengers: Endgame, penyatuan dia bersama anak-anak dan isteri, merupakan satu pengakhiran yang amat baik dan menenangkan. 

Black Widow korbankan diri demi ‘keluarga’ nya. Walaupun agak menyedihkan kerana Natasha mati di planet Vormir, mengorbankan diri demi memberi Soul Stone kepada Hawkeye, tetapi pemergiannya baik dan menenangkan. Perasan tak, selepas The Red Skull menyambut ketibaan Barton dan Natasha di planet Vormir, Natasha kelihatan sangat terkesan apabila dapat tahu nama ayahnya sendiri (Natasha, daughter of Ivan)

Setelah sejak kecil di-brainwash dan dilatih sebagai Super-Spy, istilah hubungan, keluarga dan kawan itu menjadi asing untuknya. Namun sejak penyertaannya bersama pasukan Avengers, Natasha mula merasa nikmat menjadi sebahagian daripada keluarga (walaupun bukan pertalian darah). Ayat yang digunakannya pada awal filem (selepas 5 tahun berlalu sejak Thanos)

I used to have nothing. Then I have this. Part of this team, this family (ketika Steve melawat dia sedang makan peanut butter sandwich)

This is what I have been waiting for. For 5 years. (sebelum dia terjun daripada gaung Vormir untuk beri Soul Stone kepada Hawkeye)

Bertahun-tahun dia mencari tempatnya dalam masyarakat (sebab selalu rasa diri terasing) dan cuba untuk menebus dosa lamanya (red on my ledger), akhirnya dia memilih untuk jadikan dirinya ‘berguna’ dengan mengorbankan diri untuk kepentingan pasukan Avengers.

Dan dia ialah calon yang paling sesuai untuk dikorbankan, memandangkan dia hidup berseorangan dan tiada ahli keluarga yang akan merinduinya. Tipulah tak rasa sedih ketika semua pasukan Avengers dah kembali ke masa sekarang (selepas dapatkan semua Infinity Stones) dan dapat tahu Natasha sudah tiada, apabila ditanya “Do we have if she has any family?”, Captain America membalas “Yes. Us.”

Maka, pemergian Black Widow, menyedihkan namun penting untuk kesejahteraan manusia sejagat. Bye bye Natasha! Jumpa di Black Widow filem prequel nanti 🙂

Bruce Banner akhirnya menerima Hulk sebagai dirinya sendiri. Setelah sekian lama cuba untuk menghilangkan Hulk dan mengasingkan diri menjadi dua persona, akhirnya Bruce terima yang dia dan Hulk, ialah manusia yang sama dan bukan lagi identiti berbeza yang bertukar-tukar giliran siapa nak muncul. Maka, gabungan antara kepintaran Bruce dan kekuatan Hulk, menjadi kata kunci kepada pengakhiran Avengers: Endgame.

Bruce kini bukan lagi manusia ganas yang ditakuti oleh orang sekeliling kerana kelihatan seperti raksasa (seperti krisis dalaman oleh The Thing dalam Fantastic Four), tetapi sebagai hero yang cool dan disukai kanak-kanak untuk selfie bersama (asalkan tiada Ant-Man masuk dalam gambar haha).

Maka, pengakhiran Bruce dalam Avengers: Endgame, sangat baik dan menenangkan. 

Thor akhirnya memilih jalan hidup sendiri dan bukan kerana apa yang orang lain mahukan. Hidupnya selama beribu-ribu tahun yang dijangka akan menjadi raja, kemudian menjadi pahlawan Asgard, kemudian menjadi raja semula selepas Asgard meletup, akhirnya kini berada di atas landasan pilihan hidupnya sendiri. Bukan lagi atas takdir yang ditentukan olehnya, bukan lagi atas jangkaan orang terhadapnya, tetapi atas apa yang hatinya mahukan – belum tahu lagi apa. Seperti dipesan oleh ibunya setelah 5 tahun dia kemurungan, “Go be the person who you want to be.”

Penyertaan Thor bersama pasukan Asgardian Of The Galaxy (mengikut lawak hambarnya), masih lagi dalam kelam kelabu dan belum tahu bagaimana masa depannya – bertepatan dengan jawapannya apabila ditanya oleh Valkyrie “What do you want to do after this?” dan dibalasnya, “I don’t know yet, but that’s okay.” Maka, keluarnya Thor daripada pasukan Avengers original (sudah tak bersama), dengan cara yang baik dan menenangkan. 

Iron Man akhirnya dapat berehat dan pergi dengan baik. Ya, memang dia mati di penghujung Avengers: Endgame ini, tetapi ini sangat baik dan menenangkan bagi saya, sebab dia pergi secara baik. Kenapa? Sejak Iron Man 3 lagi, Tony Stark sudah digambarkan sebagai penat dan serabut dengan tanggungjawabnya sebagai Iron Man, terutama semenjak Avengers 1, ketika dia membawa bom nuklear ke dalam wormhole untuk tewaskan askar Chitauri. Bermula dari situ, Pepper Potts sendiri pun terbeban dengan Tony yang serabut dan bercelaru, sehingga beberapa kali bergaduh dan Pepper mengambil keputusan untuk ‘berehat’ sebentar daripada hubungan mereka.

Permulaan filem ini, ketika Tony merakam wasiatnya (sebelum diselamatkan oleh Captain Marvel) dia menyebut istilah “One last one” yang merujuk kepada misi terakhir sebelum dia berehat. Ayat yang sama juga disebut kepada Pepper dalam Avengers: Infinity War, saat dia berbual mengenai mimpinya untuk dapat anak bersama Pepper (yang menariknya, nama anaknya Morgan sudah diperkenalkan dalam babak ini) sebelum Dr Strange dan Bruce Banner datang tegur.

Sepanjang 5 tahun selepas Thanos hapuskan 50% populasi dunia, Tony kelihatan amat bahagia dan sudah mampu move on, terutama dengan kehadiran cahaya mata barunya, Morgan Stark. Watak Tony mula dilihat sebagai seorang ayah dan betapa bahagianya dia apabila disayangi 3000 kali.

Perginya Tony Stark selepas menggunakan gauntlet untuk kalahkan Thanos dan askarnya, walaupun menyedihkan, tetapi sangat baik dan menenangkan. Kerana akhirnya, dapat juga dia berehat dan pergi secara damai, kerana dapat mencapai kebahagiaan kekeluargaan selepas bertahun-tahun menjadi superhero. “One last one, before I can finally take a good sleep.”

Kata-kata terakhirnya “I am Iron Man” menjadi penutup yang baik, kerana ayat yang sama diluahkan ketika press conference dalam Iron Man (2008) dahulu, sebagai permulaan kepada wujudnya pasukan Avengers dalam Marvel Cinematic Universe.

Captain America akhirnya dapat menari bersama kekasih hatinya, Peggy. Bahagia bersama Agent Carter sejak dijanjikan untuk menari bersama sebelum Steve tidur selama 70 tahun, merupakan satu pilihan hidupnya yang paling tepat oleh hatinya. Sejak awal lagi Steve kelihatan belum dapat move on dengan takdirnya yang melepas untuk hidup bersama Peggy. Ada banyak babak yang memberi mesej tersembunyi sepanjang Avengers: Endgame, apabila Steve memandang kompas bersama gambar wanita itu.

Saat sebelum turun ke planet asing untuk bunuh Thanos yang dah bersara (ketika Captain Marvel turun dulu ke planet untuk jalankan pantauan)

Ketika bertarung dengan Captain America di masa lampau (sehingga Steve masa lampau bertanya pada Steve masa sekarang, “Where did you get that?”

Malah ketika kembali ke masa lampau (babak Tony bawa ke kem SHIELD yang lama untuk dapatkan Tesseract dan terserempak dengan ayahnya Howard), wajah Steve yang ternampak Peggy dalam pejabat memberi mesej segalanya. Terpancar kembali sinar cinta dan harapan, apabila wajah Peggy di sebalik cermin dan Steve kelihatan sangat berharap untuk bersama kembali, tetapi dipisahkan oleh lapisan gelas kaca dan takdir yang membezakan perjalanan hidup mereka.

Namun, setelah kembalikan semua Infinity Stones yang ‘dicuri’ melalui projek Time Heist mereka, Steve memilih untuk melawan takdir yang memisahkan mereka berdua, dan tetap bersatu dengan pilihan hatinya. Setelah bertahun-tahun menjadi superhero dan berjuang untuk orang lain, kali ini dia memilih untuk berjuang demi dirinya sendiri, seperti dinasihatkan oleh Tony.

Berpuluh-puluh tahun bahagia bersama Peggy (sejak kembali ke masa lampau), Steve akhirnya meninggalkan dunia Avengers secara baik dan menenangkan.


4. Dr Strange Memang Tahu Ini Satu-satunya Jalan Untuk Kalahkan Thanos

Apabila Hulk habis saja petik jari ketika pakai gauntlet (untuk kembalikan semula 50% populasi), mereka yang 5 tahun dulu hilang menjadi debu kini kembali hidup, seolah-olah hanya pengsan sekejap dan terus terjaga, seperti yang diceritakan oleh Peter Parker.

Malah dia menambah lagi, Dr Strange terus beritahu semua yang ada di Titan (waktu mereka jadi debu dulu) untuk cepat balik ke Bumi sebab Tony Stark perlukan kita.

Walaupun orang lain kelihatan bingung dan pelik, tak tahu apa yang terjadi sepanjang 5 tahun ini (malah tak sedar pun 5 tahun berlalu), Dr Strange terus tahu apa patut dibuat.

Dr Strange sah memang tahu ini lah jalan untuk berjaya kalahkan Thanos dan perjalanan situasi mereka ketika itu memang seperti jangkaan dia dalam 14,000,605 kemungkinan yang ada. Dia dah tahu yang Tony Stark dan Avengers lain sedang berlawan dengan Thanos di bumi (pangkalan baru Avengers, downtown).

Hint Dr Strange Kepada Iron-Man

Ketika ditanya oleh Tony, daripada 14,000,605 kemungkinan yang dilihat Dr Strange melalui Time Stone, adakah perjalanan mereka sekarang merupakan 1 yang menang itu? Dr Strange hanya menjawab,

“If I told you what’s gonna happen, it won’t happen.”

Sangat jelas yang dia sedang usaha sehabis boleh untuk pastikan timeline yang mereka sedang lalui sekarang, tak tersasar keluar ke arah timeline yang gagal. Pendek kata, mereka sedang berada dalam timeline yang betul (menang), tetapi andai ada yang tersilap sedikit, akan menyebabkan mereka terkeluar daripada landasan yang menang (Butterfly Effect).

Tetapi, ketika babak Thanos berjaya merampas gauntlet yang lengkap dengan 6 Infinity Stones (selepas Captain Marvel telah ditumbuk melayang jauh), perang itu kelihatan seperti Thanos sudah hampir berjaya dan tak ada harapan untuk Avengers menang dah.

Saat ini, Tony pandang ke arah Dr Strange (yang tengah uruskan air laut daripada melimpah ke medan perang). Dr Strange yang melihat situasi Thanos sudah hampir berjaya, ketika itu, beri satu hint penting kepada Tony, iaitu, mengangkat jari telunjuk simbol 1/menunjuk jari telunjuk kat atas.

Kenapa jari begitu? Apa maksudnya?

Saya ada dua teori, apa yang dimaksudkan oleh Dr Strange dengan jari begitu,

  1. Dr Strange sedang beri hint yang timeline mereka sedang lalui sekarang ialah timeline 1 yang Avengers menang, daripada 14,000,604 yang kalah (menjawab soalan Tony pada sebelumnya tadi)
  2. Dr Strange sedang merujuk kepada ayat Tony yang selalu sebut “One last one”, merujuk kepada ini misinya yang terakhir sebelum akhirnya dapat berehat selepas ini (yang asyik disebut-sebut oleh Tony sejak Avengers: Infinity War dahulu)

(Atau mungkin juga Dr Strange sedang beritahu Tony untuk ingat Tuhan yang satu, mengucap dua kalimah syahadah sebelum korbankan diri dengan gunakan Infinity Stones tu hahahah. Okay gurau)

Tony yang ketika itu memahami, terus merampas semua Infinity Stones daripada gauntlet Thanos dan gunakannya untuk kalahkan Thanos dan askarnya.

Bila kita lihat yang Tony menjadi kunci penting untuk kalahkan Thanos, maka tak peliklah kenapa Dr Strange dulu serahkan Time Stone secara sukarela di Titan, demi selamatkan Tony daripada dibunuh Thanos. Padahal sebelum itu, Dr Strange dah sebut yang andai kata terpaksa pilih sama ada Time Stone atau nyawa Tony dan Peter, dia tak teragak-agak akan pilih Time Stone.

Sebab Tony ialah elemen paling penting dalam perang ini, daripada individu yang bertanggungjawab untuk cipta mesin yang boleh kawal Time Vortex dalam Quantum Realm, kepada seseorang yang akan cipta gauntlet yang boleh kendalikan Infinity Stones sehinggalah kepada insan yang akan memakai gauntlet dan kalahkan Thanos.


5. Koleksi Watak Yang Terkesan Oleh Tony Stark

Ketika majlis berkabung Tony di penghujung filem, ada satu babak kamera ‘panning’ tunjuk kepada beberapa kelompok, bermula daripada Pepper sehingga ke Nick Fury. Koleksi karakter yang dipamerkan ini semuanya watak yang hidup mereka ada pernah berjumpa dan terkesan dengan Tony Stark, walaupun secara tak langsung.

Kalau mengikut susunannya, 

  1. Pepper Potts, Happy, Rhodes, Steve
  2. Peter Parker, Aunt May
  3. Thor, Bruce, Strange, Wong
  4. Scott, Hope, Hank, Janet
  5. Nebula, Quill, Drax, Groot, Rocket, Mantis
  6. T’Challa, Okoye, Shuri
  7. Barton dan keluarga
  8. Wanda, Bucky dan Sam
  9. Agent Maria Hill dan Thunderbolt Ross
  10. Captain Marvel dan Nick Fury

Eh sekejap. Ada watak yang tak dikenali, sebelum tunjuk ke arah Agent Hill dan Ross. Siapa remaja lelaki ini?

Awal mungkin tak perasan, tetapi sebenarnya ini ialah Harley Keener, iaitu budak kecil yang banyak bantu Tony dalam  Iron Man 3. Yang menariknya, Harley kecil dan Harley remaja, kedua-duanya dimainkan oleh pelakon yang sama, iaitu Ty Simpkins. Dia memang sudah membesar jadi remaja sejak lakonan dalam Iron Man 3 (umur 13, kini sudah 17 tahun)

Ini mesti bukan kebetulan, dan ada desus-desas mengatakan yang Harley akan menyambung legasi Iron Man, terutama apabila Tony pernah beri inspirasi kepadanya dan hadiahkan pelbagai jenis peralatan di bangsarnya, untuk teruskan mencipta sesuatu. Tetapi jangan lupa, kalau ikut komik Marvel, Iron Heart yang akan sambung legasi tetapi bukan Harley.

Tak mengapa, kita lihat nanti bagaimana.


6. Nilai Kita Bukan Ditentukan oleh Alat Atau Senjata, Tetapi Dalaman Kita

Babak Captain America berjaya mengangkat Mjolnir dan menggunakan seperti Thor, merupakan babak yang paling menggembirakan bagi penonton di pawagam. Steve berjaya membuktikan yang dia ‘worthy’ untuk menggunakan Mjolnir dan ini sebenarnya pernah diberi hint halus dalam Avengers: Age of Ultron.

Steve hampir menggerakkan sedikit Mjolnir sehingga Thor pun agak terkejut. Tetapi, hanya bergerak halus saja. Tetapi dalam babak melawan Thanos kali ini Steve bukan setakat mampu mengangkat, tetapi mampu gunakannya seperti Thor, dan mempunyai kuasa petir seperti Thor juga!

Ini bertepatan dengan ‘sumpahan’ yang dibuat oleh Odin kepada Mjolnir, iaitu:

“Whosoever holds this hammer, if he be worthy, shall possess the power of Thor.”

Apa definisi ‘worthy’?

Thor yang dahulunya pernah kehilangan kekuatan untuk gunakan Mjolnir kerana mengutamakan kepentingan diri berbanding orang lain, akhirnya berjaya gunakan semula apabila dia korbankan diri agar kawan-kawannya selamat (Jane Foster, Darcy, Erik, Lady Sif dan pasukan Warriors Three).

Worthy dalam MCU, apabila seseorang itu “sacrificing self for the greater good.”

Captain America yang sejak awal lagi memang sudah mempunyai pendirian ini, apabila sanggup bawa jet ke dalam ais untuk elakkan rakyat New York diletupkan oleh Red Skull, sehinggalah ke saat dia tetap melawan Thanos, walaupun dia hanya manusia.

Nilai seseorang itu bukanlah daripada jenis alat yang digunakan, perkakasan yang membantu atau apa objek luarannya, kerana itu boleh dicari dan diganti. Tetapi nilai sebenar kita terletak pada sifat dalaman kita, sama ada mempunyai hati yang baik dan bersih.

Steve Rogers yang kekal pada pendiriannya, walaupun Shieldnya sudah pecah dua dan badannya teruk dibelasah, malah tak ada harapan nak menang dengan ribuan askar Thanos sedangkan dia seorang saja, Steve tetap kembali bangkit untuk bertarung. Itulah nilai yang amat besar dalam dirinya.

Seperti dipetik kata-kata Dr. Abraham Erskine pada malam sebelum Steve jalani ujian untuk jadikan dia sebagai eksperimen pertama Super-Soldier Program,

“Not a perfect soldier, but a good man.”


7. Tiada Post-Credit Scene – Endgame Sebagai Pelengkap kepada filem MCU fasa 3

Jika Avengers: Infinity war ialah filem untuk peminat MCU yang perlu tengok dan paling mendebarkan, Avengers: Endgame ialah pengakhiran yang terbaik sebagai menjawab segala persoalan yang pernah dikemukakan sepanjang filem Marvel pertama (Iron Man, 2008) sehingga ke terakhir (Ant-Man and The Wasp, 2018) sebelum Avengers: Endgame (2019).

Tak pelik apabila tiada babak tersembunyi selepas kredit (seperti filem Marvel sebelum ini), kerana ini bertindak sebagai pelengkap kepada siri penuh Infinity Saga. Maka, fasa 4 nanti akan bermula secara fresh tanpa ada apa-apa pertalian atau penyambungan daripada fasa sebelum ini. Pendek kata, tiada (atau minimum) kesinambungan maklumat yang akan berlaku untuk ke fasa 4, tetapi lebih kepada kesinambungan semangat dan prinsip.

Awalnya ya, kecewa sebab tiada babak tersembunyi selepas kredit.

Tetapi apabila memahami prinsip dan falsafah yang cuba disampaikan oleh Marvel ini, terus rasa tenang dan puas, kerana tak perlu ada ‘lingering thoughts” yang selalu terjadi setiap kali tengok filem Marvel sebelum-sebelum ini. Contohnya,

  1. Siapa yang pakai baju hitam tu? (Iron Man 2008)
  2. Batu oren ada kat mana (Soul Stone, sebelum Avengers: Infinity War 2018)
  3. Akhirnya! Datang juga dia (Captain Marvel 2019)

Persoalan-persoalan sebegini menyebabkan peminat akan terus mengkaji, membaca, menulis blog dan sebagainya, menberi teori dan pandangan mereka untuk filem seterusnya. Tetapi apabila TIADA babak selepas kredit, ini memberi satu mesej yang jelas untuk filem Marvel akan datang, iaitu NAFAS BARU.

Maka, kita tak perlu pening-pening nak buat teori itu ini, baca itu ini, sebagai persediaan kepada filem baru. Pandai betul Marvel!


Kesimpulan,

Setelah 11 tahun kita bersama, mengikuti filem Marvel yang ada sehingga 2019, pelbagai memori yang dicipta. Avengers: Endgame merupakan pengakhiran yang amat baik dan saya tak terkejut andai filem ini berjaya memotong Avatar, iaitu filem yang mempunyai rekod kutipan tertinggi.

Marvel bukan saja berjaya mencipta peminat yang ramai dan setia, tetapi juga berjaya mencipta nama sebagai industri filem yang mampu menyambung pelbagai watak dalam satu universe yang sama. Pendek kata, filem/novel yang berjaya, kebanyakannya apabila mereka mampu mencipta dunia sendiri yang mempunyai peraturan mereka sendiri, sehingga kita yang di dunia ini, tertarik untuk masuk ke dunia sana.

Komen

Aiman Amri

Menulis dan berkongsi mengenai ilmu pengkajian minda dan tingkahlaku manusia merupakan minatnya pada waktu lapang. Pada waktu serius pula, beliau berkhidmat sebagai Pengurus Akademi di sebuah pusat Psikologi terkemuka, Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai. Jemputlah datang untuk dapatkan servis terapi Psikologis kami. Sebut nama beliau, insya Allah dapat diskaun :P