Sosiologi merupakan cabang ilmu yang berkaitan rapat dengan pembelajaran dan pengkajian mengenai sistem sosial/interaksi manusia di sesuatu lokasi, berdasarkan faktor luaran (pembangunan, pengangkutan dll) dan dalaman (budaya, genetik, agama dll).
Dalam Psikologi, ada cabang spesifik berkaitan ini, yang dinamakan Psikososial, iaitu pembelajaran mengenai perkaitan faktor sosial luaran dengan pemikiran & tingkah laku seorang manusia di sesebuah tempat.
Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk melihat dan mengalami budaya dari lebih 30 buah negara sepanjang hidup di muka bumi ini, walaupun majoriti besarnya ialah negara di Eropah.
Selama 3 tahun menetap di Nottingham, UK, dan sepanjang pengembaraan ke seluruh benua Eropah pada cuti musim panas 2016 lepas, ada beberapa faktor budaya yang sempat diperhatikan.
Antara yang signifikan saya perhatikan:
1. FAKTOR CUACA – PERSONALITI BERPAKAIAN
Ia mempengaruhi personaliti berpakaian seseorang manusia di negara tersebut. Di negara 4 musim, membuatkan penduduknya biasanya mempunyai 4 jenis pakaian untuk dipakai, sesuai dengan cuaca 4 jenis. Maka, personaliti mereka juga mempunyai pecahan sekata 4 jenis personaliti.
Berbeza kita di Malaysia, negara yang panas dan lembab, menyebabkan peratusan besar rakyat kita mempunyai personaliti Natural, iaitu mementingkan keselesaan dan mesra-panas.
2. FAKTOR CUACA – SUASANA RESTORAN
Negara seperti Eropah mempunyai musim panas yang memang ditunggu-tunggu oleh rakyat sana. Susun atur kedai di sana, terutama kedai makan, banyak yang bertemakan tiada atap kekal (jenis boleh tarik simpan), di bawah sinaran mentari, dan berada di tepi laluan orang awam. Pada musim sejuk pula, sistem yang sama tetapi ada heater/besi panas yang akan memanaskan suasana daripada siling.
Kita pula di Malaysia, negara yang panas, mempengaruhi susun atur kerusi meja kita yang akan bersifat indoor, dan lagi menarik, apabila ada aircond. Kita boleh buat outdoor, tetapi pada waktu malam sahaja (kedai mamak)
3. FAKTOR SOSIAL – SISTEM PENGANGKUTAN
Untuk ini, bukan mahu rujuk pada sistem yang efisyen, tetapi pada interaksi yang berlaku seharian dalam penggunaan bas terutamanya. Kurangnya penggunaan kereta sendiri dan banyak pada sistem awam, maka interaksi antara strangers itu berlaku setiap hari.
Bayangkan, naik bas, perlu bercakap dengan pemandu untuk beritahu kita ke mana, dan dimulakan dengan sapaan “Good morning” atau “Hello”, yang jarang kita buat sekiranya kita memandu kereta sendiri (seperti di negara ini)
Walaupun kecil, tetapi apabila ia dilakukan setiap hari, ia besar. Dan berimpak tinggi pada kadar interaksi sosial kita dengan seseorang.
Tanya diri kita, bila kali terakhir kita berbual dengan orang asing?
4. FAKTOR BERDIKARI – SISTEM PENGANGKUTAN
Sistem pengangkutan mereka dipercayai dan boleh diharap, maka ini meningkatkan lagi sikap berdikari seseorang, terutama remaja untuk ada self-esteem dan independency, menaiki bas sendiri untuk ke sesebuah lokasi, tanpa lagi mengharapkan ibu bapa hantar ke mana-mana.
Ini juga seiring dengan kepercayaan mereka kepada orang asing (autoriti), kerana mereka percaya pada konsep autoriti. Sekaligus, sedikit demi sedikit, kadar jenayah juga berkait rapat dengan faktor ini.
Ada banyak lagi yang belum disentuh, tetapi tujuan diceritakan perbezaan ini bukan mahu kita berkiblatkan Eropah, tetapi untuk buka perspektif pemikiran pada dunia yang berlainan dengan kita, ambil mana yang baik, dan aplikasikan dalam dunia kita.
Dalam buku Tanah Airku Di Bumi Ratu ini, alhamdulillah saya berpeluang untuk menyentuh secara ringkas mengenai isu psikososial di negara sana, terutama mengenai bab pembawaan budaya-budaya baik ke negara kita sendiri, dengan cabaran bahawa budaya itu budaya baik tetapi masih asing dan baru dalam kalangan kita, contohnya,
Buang sendiri sampah dan letak tray setiap kali habis makan di kedai Fast Food (KFC, McDonalds, Texas Chicken dll). Ini masih asing, dan setiap kali ada orang buat, pasti akan diperhatikan pelik oleh orang sekeliling.
Buku ini bukan penulisan saya seorang, tetapi saya salah seorang penulisnya. Koleksi penulisan 28 pelajar Malaysia yang berada di United Kingdom, berkongsi pengalaman mereka daripada perspektif masing-masing.
Perspektif saya? Psikososial sudah semestinya!
