Jack Of The Red Hearts – Kasih Sayang Antara Terapis Dan Remaja Autisme

#KajiFilemPsikologi kita untuk kali ini,
 
“Jack of The Red Hearts.”
 
Sebuah filem yang amat beremosi dan membawa mesej yang amat besar;
 
Realiti sebenar kehidupan seseorang Autism.
Jack, iaitu pelakon utama dalam filem ini menjadi seorang remaja yang bermasalah jenayah, yang banyak melakukan kesilapan dalam hidupnya.
 
Namun di sebalik jenayah dan kes yang dilakukannya, terdapat satu sifat mulia nya yang sentiasa menjadi ‘drive’ kepada beliau untuk terus hidup, iaitu adik perempuannya.
 
Bermula dengan penipuan untuk mendapatkan gaji dengan mendapatkan pekerjaan secara curi, yang akhirnya membawa perubahan terbesar dalam hidupnya.
 
Saya tak nak cerita lebih-lebih, sebab nanti akan spoil, tetapi saya sangat suka babak ini (gambar), iaitu saat Jack mengajar Glory untuk makan menggunakan sudu.
 
(Walaupun agak tidak realistik apabila beliau berjaya mengajar dalam masa separuh hari, kerana realiti sebenarnya, kanak-kanak Autism mengambil masa untuk belajar satu skill baru, walaupun sekadar ringkas makan guna sudu. Tetapi, bergantung kepada jenis Autism juga)
 
Babak ini antara yang paling terasa kerana,
 
Sebagai seorang Therapist untuk kanak-kanak Autism, kebahagiaan terbesar ialah apabila kanak-kanak yang dijaga itu, berjaya membuat sesuatu yang baru, atas usaha didikan dan latihan yang kita lakukan terhadapnya.
 
Bayangkan.
 
Contohnya seseorang kanak-kanak Autism tak mampu berkata-kata (non-verbal) dan hanya mampu mengekspresikan dirinya melalui cakaran, jeritan, tangisan, tarik tangan, bahasa badan dan lain-lain, namun setelah berbulan-bulan menjalani Terapi bersama Therapist nya,
 
Satu hari, kanak-kanak tersebut bersuara untuk meminta sesuatu. Walaupun dengan sebutan yang tidak jelas, tetapi saat keluarnya suara beliau untuk meminta sesuatu,
 
tipulah kalau Therapist itu tidak mengalirkan air mata.
 
Berbulan-bulan bersusah payah, melakukan terapi itu ini, ‘push’ kanak-kanak tersebut sehabis yang boleh, yang akhirnya, mula memahami untuk mengeluarkan suara sepatah-sepatah untuk meminta sesuatu.
 
T_T
 
Begitu juga dengan situasi dalam babak ini.
 
Memang lumrah, dalam susah payah mengajar seseorang kanak-kanak untuk melakukan sesuatu yang asas, saat mereka berjaya menguasai skill tersebut, mampu memberi impak yang amat besar kepada Therapist tersebut.
 
Kadang-kadang orang bertanya,
 
“Kenapa nak bekerja dengan kanak-kanak istimewa ini?”
 
“Tak serik ke kena cakar, gigit, tumbuk, picit?”
 
“Berbaloi ke gaji yang dibayar, dengan cabaran emosi dan mental sepanjang di situ?”
 
Sebagai seorang pendidik, sama ada pendidikan khas atau tidak, kebahagiaan sebenar yang benar-benar menusuk di hati bukanlah apabila menerima gaji, atau mendapat kenaikan pangkat atau sebagainya.
 
Tetapi saat kita melihat sendiri berjaya nya anak didikan kita itu, walaupun seringkas-ringkas pandai makan guna sudu (yang dulunya makan guna tangan), itu lah keseronokan dan kepuasan sebenar.
 
Kadang-kadang, kita merasakan kita membuat perubahan yang besar kepada kanak-kanak istimewa ini, apabila kita menjadi Therapist mereka, namun sedar atau tidak, kita lah yang sebenarnya menerima impak dalam hidup.
 
Sama seperti Jack membawa perubahan kepada hidup Glory dengan membantu untuk memasuki institusi pendidikan khas yang hebat, seperti itu juga hubungannya dengan Glory akhirnya membuatkan beliau memilih untuk kembali ke pangkal jalan dan usaha yang terbaik untuk memperbaik kesilapan hidupnya yang terdahulu
 
Kerana perubahan itu berlaku dua hala.
 
🙂
 
Filem yang wajib tonton, untuk memahami serba ringkas mengenai perhubungan yang akrab antara therapist dan kanak-kanak autism.