Macam Mana Nak Minta Mak Bawa Adik Jumpa Pakar Psikiatris? #AskAimanPsikologi

Ada dua perspektif saya lihat di sini. Saya akui soalan ini tiada konteks yang spesifik, maka saya akan jawab secara umum sahaja.

1. Cara Mendapatkan Bantuan Profesional

Ada dua pilihan, sama ada melalui hospital kerajaan atau pusat psikologi swasta/NGO. Pilihan pertama, terus buat temu janji untuk ke Klinik Kesihatan di laman web Qmed.asia dan cari KK terdekat dengan anda. Pada tarikh itu, datang dan buat saringan bersama doktor melalui ujian tekanan darah, buat ujian DASS21 dan jumpa doktor GP. Sekiranya perlu, mereka akan rujuk anda untuk ke hospital terdekat yang ada unit psikiatri pada tarikh yang lain.

(atau oleh juga ke Klinik Mentari, iaitu unit psikiatri hospital kerajaan yang bertugas di kawasan komuniti, untuk sesiapa yang memerlukan)

Kelebihan pilihan ini, murah saja kosnya, serendah RM1-15, bergantung kepada temu janji. Kekurangan? Beratur panjang, mungkin menunggu berbulan-bulan untuk dapat tarikh berjumpa doktor psikiatri.

Pilihan kedua, melalui pusat psikologi swasta atau badan bukan kerajaan seperti MIASA, Women Aid Organisation, Mercy Malaysia dll. Untuk dapat tarikh mungkin lebih cepat, cuma kekurangannya, kos lebih tinggi (bergantung pusat mana).

Kalau swasta, boleh mencecah RM150-RM300 untuk satu jam. Bagi NGO pula, biasanya ada diskaun untuk yang kurang berkemampuan seperti pelajar, penganggur, B40, OKU dan sebagainya. Lain pusat, lain tawaran mereka.

Persatuan MindaKami pernah senaraikan penuh cara nak dapatkan bantuan kesihatan mental di Twitter mereka. Boleh baca di sini.

2. Stigma/Salah Faham Oleh Ahli Keluarga

Tak dinafikan, ada keluarga yang pandang jelik dan pelik mengenai isu kesihatan mental, maka konsep “membawa jumpa pakar psikiatri” itu dilihat sebagai sesuatu yang memalukan, patut dielak dan dinafikan. Malah kadang-kadang, berjumpa ustaz atau pengamal Darul Syifa’ itu lebih diutamakan dahulu. Tiada masalah pun, tetapi jangan dilupakan juga rawatan yang lebih utama, iaitu bantuan psikiatri.Kesihatan mental ini sama penting seperti kesihatan fizikal dan kedua-duanya perlu dijaga bersama.

(Saya pernah buat kupasan topik “Kenali Stress” dan kaitannya dengan kesihatan mental kita, dengan panjang lebar di sini)

Untuk situasi begini, perlu datangnya pendidikan dan kesedaran, supaya stigma itu boleh hilang. Panjang bab ini sebenarnya kalau nak cerita, jadi saya terus ke ‘hack’ yang kita boleh buat, bila berhadapan ahli keluarga yang ada stigma dengan topik ini.

Setiap masalah kesihatan mental, biasanya ada juga simptom fizikal hadir bersama, contohnya kemurungan ada rasa tak bertenaga, lemah badan, rasa lesu dll. Kegelisahan pula, ada jantung berdebar, sakit dada, sakit kepala, bahu/leher rasa kejang dll.

Jadi, fokus untuk beritahu kita punya simptom fizikal berbanding simptom emosi seperti stress, depress, anxiety dll. Sebab ramai orang boleh terima dan faham bila melibatkan fizikal, maka kita guna ‘bahasa’ itu.

“Ibu, adik selalu sakit dada.”
“Papa, abang rasa selalu susah nak bernafas.”
“Entah lah, lately selalu cepat mengah.”

Nanti dah jumpa doktor, kita ceritalah perkara sebenar. Tips ini berguna untuk kita dapatkan rawatan secepat mungkin, kalau kita tak sempat nak ‘didik’ keluarga kita mengenai kesihatan mental.

Sebab prioriti utama ialah kita dapat jumpa pakar (seperti psikiatris atau psikologis klinikal). Faktor kesedaran, kefahaman dll itu, kita usahakan semula sambil-sambil rawatan bermula nanti.

“It’s okay to not be okay, but it’s not okay to stay that way.” 

#AskAimanPsikologi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *