“Apakah perbezaan kerjaya Psikiatris, Psikologis dan Kaunselor?”
Tak dinafikan, orang awam biasanya keliru bab ini. Saya juga begitu satu ketika dahulu.
1. PSIKIATRIS
Mereka ini sebenarnya ialah doktor, yang melalui pendidikan Medic 5 tahun. Selepas mereka sudah bergelar MO, dan bagi yang mahu jadi specialist, ada pilihan untuk masuk ke bahagian Psikiatri. Maka, seorang Psikiatris ini sebenarnya ialah doktor perubatan, yang merupakan pakar dalam bahagian Psikiatri, sama seperti Doktor dalam O&G, Orthopedic, Neurology dan sebagainya.
Kaedah rawatan mereka juga banyak berunsurkan ubat-ubatan, iaitu pendekatan pharmacology. Mereka arif mengenai keadaan biologi dan neurologi otak si penghidap. Pada masa sama, mereka juga boleh memberikan servis psikoterapi (terapi melalui bercakap) kepada individu yang berjuang dengan masalah kecelaruan mental.
2. PSIKOLOGIS
Berbeza Psikologis, mereka bukan doktor. Mereka ialah graduan dalam bidang Psikologi, dan bekerja sebagai Psikologis. Syarat minimum untuk seorang Psikologis di Malaysia ialah Master in Psychology (mana-mana cabang Psikologi yang berkaitan). Kebanyakannya, ramai yang mempunyai PhD, maka ramai digelar sebagai Dr. Hakikatnya, Doktor mereka ialah daripada PhD, dan bukan perubatan, sebab itu ramai selalu tertukar.
Untuk menjadi Psikologis (bagi kategori Psikologis Klinikal), ada beberapa fasa yang diperlu dilalui (bukan semata-mata ada Master/PhD Psychology), contohnya perlu attach dengan mana-mana pusat psikologi atau hospital, praktis dalam bidang berkaitan.
Rawatan mereka lebih kepada pendekatan Psikologi seperti Psikoterapi, Cognitive Behavioural Therapy, Psychoanalysis dan banyak lagi!
Di Malaysia, Psikologis yang wujud kebanyakannya melibatkan Clinical Psychologist atau Occupational Psychologist. Di Malaysia, kita belum kukuh lagi kerjaya ini.
Berbeza di UK contohnya, mereka sudah ada Educational Psychologist, Road User Behavioural Psychologist, Cognitive Psychologist, Developmental Psychologist, Child Psychologist, Forensic Psychologist, dan banyak lagi!
Di sana, kerjaya Psychologist dianggap setaraf dengan Doktor perubatan dan peranan mereka banyak mempengaruhi suasana di sana. Insya Allah lain kali saya kongsikan secara spesifik mengenai ini.
3. KAUNSELOR
Haaa.. Ini ramai yang sudah kenal, sebab di sekolah dan universiti dahulu, tahu wujudnya mereka kan? Kementerian kita (mengikut WHO) tetapkan dalam 500 pelajar, WAJIB ada satu kaunselor (nisbah 1:500).
Kaunselor ialah mereka yang dalam bidang Psikologi Kaunseling, tetapi sudah spesifik dalam bidang kaunseling, iaitu cabang lebih mendalam mengenai rawatan dan terapi/penyelesaian kegusaran minda klien melalui sesi kaunseling individu atau berkumpulan.
Seorang graduan Psikologi tak boleh bekerja sebagai kaunselor, kerana lesen kaunselor itu hanya diberikan kepada mereka yang berlatarbelakangkan Kaunseling. Lesen tersebut juga perlu diperoleh daripada Lembaga Kaunselor Malaysia (bukan semata-mata graduasi Kaunseling, terus jadi kaunselor. Panjang prosesnya)
Latar belakang seorang Kaunselor berdaftar mestilah sekurang-kurangnya mempunyai Degree atau Master dalam bidang Kaunseling.
Ramai selalu salah faham mengenai ini.
—-
Secara ringkas, inilah perbezaan terbesar antara tiga kerjaya yang selalu disamaratakan ini. Sebenarnya luas lagi diskusi ini, tetapi kali ini, saya tulis seringkas yang boleh. Terima kasih sudi membaca! SHARE supaya lagi ramai lebih faham mengenai perbezaan ini.
