Dah lama tak menulis untuk episod #KajiFilemPsikologi. Kali ini, sempat menonton filem “Please Stand By” yang berkait rapat dengan Autism Spectrum Disorder (ASD). Keluar tahun 2017.
Filem ini berkisar mengenai seorang remaja perempuan Autistik, Wendy yang sangat berbakat menulis skrip. Filem yang mengisahkan perjalanannya melarikan diri daripada pusat jagaan dan mengembara seorang diri untuk menghantar manuskrip Star Trek di Hollywood.
Menarik, sebab sepanjang babak tak pernah disebutkan walau sekali pun yang Wendy mempunyai Autism. Kita tahu pun daripada sinopsis filem dan daripada beberapa simptom yang boleh dilihat sepanjang cerita seperti flat face emotion, savant syndrome (writing), lack of communication skills (and understanding) dll.
Kalau lihat secara kasar, Wendy mempunyai Autism kategori High Functioning Asperger yang sudah mampu berdikari hasil intervensi sejak kecil.
Wendy sangat meminati Star Trek, terutama karakter Captain Spock yang memang dikenali sebagai bangsa Vulcan yang tidak mempunyai emosi, 100% logik dan kurangnya kemahiran sosial. Spock merupakan kacukan antara manusia dan Vulcan, menyebabkan beliau turut mempunyai emosi manusia dan beliau masih mempelajari makna emosi berbanding rasional dan logik.
Wendy merasakan watak itu sangat dekat dengan dirinya, yang tidak mempunyai kemahiran mengetahui emosi, interaksi sosial, berjenaka, sentuhan personal seperti individu-individu normal lain. Dalam erti kata lain, dia merasakan dirinya seperti “Alien” berbanding manusia lain.
Tajuk “Please Stand By” ini mendapat nama daripada kata-kata pujukan yang disebut kepada Wendy apabila berlaku tantrum atau meltdown. Sebagai pesanan untuk dia bertenang, kawal diri dan jangan cederakan sesiapa.
Wendy yang dipisahkan daripada kakaknya (selepas kematian ibu) kerana dikhuatiri akan mencederakan orang lain, menetap bersama seorang pengusaha rumah individu istimewa, Scottie. Kasih sayang antara Scottie dan semua kliennya sudah seperti keluarga, tinggal serumah, makan bersama dll.
Beberapa benda saya perhatikan yang boleh dikongsikan dalam filem ini ialah:
1. Pemahaman masyarakat umum terhadap individu Autism
Wendy mempunyai kesukaran untuk berdikari di dunia luar seperti membeli tiket bas, berkomunikasi dengan orang sekeliling dll. Dia sendiri pun tidak difahami oleh orang sekitarnya (walaupun dia fasih bertutur, cuma isu kemahiran interaksi sosial) yang menjadikan beliau dirompak, ditipu dan ditinggalkan seorang diri di tengah-tengah lebuh raya.
2. Kemahiran pihak berkuasa dalam mengendalikan individu Autism
Pihak hospital sendiri yang tak tahu bagaimana nak mengendalikannya (selepas dia kemalangan) dan dilihat pelik oleh staf sendiri. Malah, oleh pihak polis sendiri pun alami kesukaran untuk mendekatinya. Mujurlah salah seorang anggota polis itu kenal beg yang dipakai Wendy ialah daripada Star Trek, dan sedar yang beliau juga turut sama peminat Star Trek. Babak yang melucukan, apabila beliau berkomunikasi dengan Wendy dalam bahasa Klingon, sebagai usaha untuk mendapat kepercayaan oleh Wendy.
Saya nak sentuh poin kedua ini dengan lebih mendalam.
Di Malaysia sekarang, kanak-kanak Autism semakin ramai mendapat diagnosis ASD dan ada yang sudah mencapai usia 16-17 tahun. Dalam 5-7 tahun lagi, individu ini akan mula menjejak usia dewasa dan pelbagai isu akan muncul dan perlu diberi perhatian oleh kita:
1. Peluang pekerjaan untuk mereka berdikari dan sara hidup. Mampukah industri pekerjaan kita menerima individu seperti ini? Sedangkan seperti kita tahu, individu Autistik suka pada rutin dan ini mungkin boleh jadi peluang baik untuk gunakan potensi itu dalam industri kita.
2. Kemahiran dan kepakaran istimewa individu Autistik seperti menganalisis nombor, melukis, menulis dll (savant syndrome) boleh jadi sia-sia andai kita terlalu fokus pada ‘kecacatannya’ sehingga tak nampak keistimewaannya.
Di US, sudah mula wujud dan giat usaha oleh NGO-NGO untuk timbulkan kesedaran dan pengetahuan pihak berkuasa seperti polis, bomba dan perubatan, bagaimana nak mengendalikan individu Autistik, sekiranya berlaku sesuatu seperti:
- Hilang daripada rumah (sebab berjalan-jalan keluar tanpa beritahu sesiapa)
- Terlibat dalam kemalangan (kerana kurang sensitiviti terhadap rasa bahaya)
Malah lebih merisaukan, sekiranya pihak polis terjumpa mereka berseorangan di mana-mana waktu malam, apabila didekati akan melarikan diri dan disalah sangka sebagai penjenayah, sedangkan:
- Mereka takut pada lampu yang disuluh (masalah sensori)
- Tak suka didekati atau dipegang (kalau ada polis mahu gari)
- Kelihatan seperti sedang high dadah, sedangkan itu memang personaliti nya (tak menyahut dipanggil, tiada pandangan mata, banyak mengipaskan tangan dll)
Semua yang saya tulis ini bukan teori semata-mata, tetapi kemungkinan yang boleh/bakal terjadi.
Dan, ia memang sudah pun berlaku di negara Amerika. Saya melanggan berita di sana (National Autism Association) yang berkaitan dengan individu Autistik. Saban hari saya melihat berita berkaitan anak ASD yang hilang, ditemui lemas dalam tasik, ditangkap oleh polis kerana disangka sedang high dadah dan banyak lagi.
Ia tak mustahil akan berlaku di Malaysia juga, seandainya kita tidak bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan seperti ini.
Persoalannya, wujudkan sebarang usaha oleh kerajaan atau daripada kita sendiri, untuk meningkatkan PENERIMAAN autism (bukan lagi kesedaran) dalam kalangan masyarakat kita sekarang?
Satu persoalan yang menerpa di minda saya selepas menonton Please Stand By.
Filem yang digalakkan untuk tonton bukan oleh ibu bapa anak-anak Autistik sahaja, tetapi oleh orang awam juga.
Kerana PENERIMAAN itu jauh lebih penting berbanding KESEDARAN mengenai Autism di Malaysia.
